Thursday, July 24, 2008

Qiyamullail di Kompleks Manabi'ul Ulum

Seperti kebiasaan tiap-tiap bulan akan di adakan Qiyamullail pada hari Sabtu terakhir setiap bulan, pada bulan ini akan diadakan pada:
Tarikh : 26/7/2008 (Sabtu malam Ahad)
Tempat : Kompleks Manabi'ul Ulum
Masa : Lapor diri jam 6.30 petang
Kuliah Maghrib : Ust Faizal
Kuliah Isyak : Ust Khairul Fahmi
**Makanan dan tempat tinggal disediakan**
Semua tuan-puan dijemput hadir ke Program tersebut, sama-samalah kita berusaha mendekatkan diri dengan Allah S.W.T

Pamplet Terbaru Persatuan Kebajikan Al-Furqan

Friday, July 11, 2008

Lawatan Pegawai Jabatan Agama Islam Perak

Tarikh: 11 Julai 2008
Jam : 10.30 pagi
Tempat : Kompleks Pendidikan Manabi'ul Ulum

Lawatan dan mesyuarat akan diadakan dengan Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Kebajikan Al-Furqan untuk berbincang mengenai kemasukan muallaf (saudara baru) untuk diterima belajar di Kompleks ini.

Tuesday, July 8, 2008

Warga Anak Yatim Kompleks Pendidikan Manabi'ul Ulum


Gambar di sebelah menunjukkan anak-anak yatim Kompleks Pendidikan Mananbiul Ulum sedang bergambar bersama Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir. Hj Nizar b. Jamaluddin di Lumut Perak dalam majlis sumbangan untuk anak yatim.

AHLAN WA SAHLAN PELAWAT PERSATUAN KEBAJIKAN AL-FURQAN

LATAR BELAKANG
Usaha menubuhkan Persatuan Kebajikan Al-Furqan ini bertunas daripada rasa sedar dan keperihatinan yang mendalam terhadap menunaikan tanggungjawab ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang progresif dan berpengetahuan luas dalam bidang agama sekaligus membenteras ummiyatud dinniyah (buta agama). Ia juga bakal menjadi sarana penyalur bagi menampung keperluan golongan yang kurang berkemampuan daripada kalangan masyarakat marhein seperti golongan fakir miskin, anak-anak yatim, warga emas, muallaf (saudara baru) dan sebagainya agar mereka dapat merasakan kenikmatan pendidikan, ekonomi dan sosial seperti orang lain.
Bagi mencapai impian ini, sejumlah besar peruntukan diperlukan bagi membiayai penubuhan Persatuan yang dimaksudkan. Peruntukan di atas adalah bagi menampung segala perbelanjaan yang mendasari empat aspek penubuhan iaitu; pembinaan, pembangunan institusi pendidikan (pondok moden), pentadbiran dan pengurusan. Namun Persatuan Kebajikan Al-Furqan yang menjadi penaung dan penaja kepada terbinanya Madrasah Manabi’ul Ulum yang bakal berfungsi sebagai pusat pengembangan dan kecemerlangan ilmu-ilmu Islam dan wadah bagi menampung pelbagai keperluan golongan marhein tersebut akan berusaha memenuhi keperluan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat sekitar.
Semoga dengan tertubuhnya Persatuan Kebajikan Al-Furqan ini, akan dapat merangsang keprihatinan kita terhadap golongan yang amat dahagakan bantuan dan simpati daripada kita. Mudah-mudahan usaha ini akan menjadi teras kearah membina sebuah masyarakat yang bersatu-padu, harmonis dan berilmu sejajar dengan Rukun Negara kita.

SEJARAH PENUBUHAN

Gagasan untuk menubuhkan Persatuan Kebajikan Al-Furqan ini berputik daripada cetusan idea beberapa orang jemaah yang berminat dengan harapan agar dibina pusat pengajian Islam bagi menampung keperluan golongan fakir miskin, anak-anak yatim, muallaf dan warga emas khususnya dan masyarakat setempat amnya.
Hasil daripada maklumat dan penerangan yang diberikan kepada masyarakat setempat iaitu Tuan Haji Md Hussain b. Abbas yang telah bermurah hati menawarkan tanah untuk diwaqafkan milik adiknya; En Maaruf b. Abbas dan Raayah bt Abas seluas 8 ekar di Lot 1283 dan 1284, Batu 10, Lekir Setiawan.
Ekoran daripada cetusan idea tersebut, satu jawatankuasa penaja yang terdiri daripada sembilan orang ahli jawatankuasa telah dibentuk. Tanggungjawab utama Jawatankuasa Penaja ini ialah untuk merangka dan menyediakan draf kertas kerja projek menubuhkan dan menguruskan pusat pengajian Islam tersebut. Pada 21 Disember 2004, berlaku mesyuarat kali pertama Jawatankuasa Penaja itu dan hasilnya sebulat suara bersetuju bahawa akan ditubuhkan persatuan yang diberi nama Persatuan Kebajikan Al-Furqan bagi mengurus dan menyelenggarakan projek membina pusat pengajian tersebut. Dalam perbincangan ini juga diputuskan bahawa nama pusat pengajian tersebut ialah Madrasah Manabi’ul Ulum dan pembiayaan penubuhan Persatuan ditanggung daripada yuran keahliannya manakala projek pembinaan madrasah pula hasil daripada derma, infaq, waqaf dan zakat daripada orang ramai. Draf Undang-undang Tubuh dan segala syarat penubuhan Persatuan telah siap dihantar pada awal Januari bagi mendapatkan kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan.

TUJUAN/MATLAMAT

Matlamat Persatuan Kebajikan Al-Furqan terbahagi kepada beberapa aspek:

(1) Dakwah
- Berusaha menghapuskan buta agama
- Berusaha untuk memberikan penerapan ilmu kepada masyarakat
- Berusaha menjadi jambatan kepada masyarakat bukan Islam mendekatkan diri dengan Islam.

(2) Pendidikan/Tarbiyah
- Meningkatkan tahap keilmuan masyarakat
- Mendekatkan golongan muda kepada kehendak beragama

(3) Ekonomi
- Menjadi penyalur kepada membantu meningkatkan ekonomi golongan warga emas, fakir miskin, anak-anak yatim, muallaf dan masyarakat sekitar khususnya dan pemangkin ekonomi Negara amnya.

(4) Kebajikan/Kemasyarakatan
- Berusaha menjaga kebajikan warga emas, anak-anak yatim, fakir miskin, saudara baru dan masyarakat setempat khasnya dan Malaysia amnya.
- Menjadi wadah bagi segala aktiviti kemasyarakatan demi meningkatkan perpaduan masyarakat.