Assalamualaikum wbt,
Bulan Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi. Seperti biasa banyak syarikat, jabatan serta individu sibuk menyusun jadual berbuka puasa. Sudah menjadi kelaziman setiap majlis yang adakan antara yang dijemput adalah anak-anak yatim.
Alhamdulillah dengan adanya jemputan maka dapatlah anak-anak tersebut bergembira menikmati juadah yang istimewa. Saat ketibaan bulan Ramadhan sangat-sangat dinantikan oleh anak-anak tersebut.
Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur yang saban tahun tidak pernah melupakan anak-anak yatim dalam penganjuran majlis mereka. Disamping dijamu makan anak-anak ini juga diberikan sumbangan yang berupa duit raya dan juga hadiah-hadiah yang lain.
Namun demikian ada beberapa perkara yang harus kita ambil kira. Ianya bukanlah satu peraturan yang harus kita patuhi tetapi hanyalah sebagai panduan.
1. Jangan memilih
Dirumah-rumah jagaan anak-anak yatim bukanlah semuanya dihuni oleh anak-anak yatim atau piatu sahaja. Terdapat juga anak-anak yang miskin dan anak-anak terbiar. Oleh yang demikian janganlah kita sebagai penganjur meletakkan syarat untuk menjemput anak-anak yatim atau piatu sahaja.. Jemputlah semua anak-anak yang ada disitu. Jangan dipinggirkan anak-anak yang lain. Jangan lupa juga untuk menjemput 3 atau 4 orang pengiring yang terdiri dari pengurus atau pekerja dari rumah tersebut.
2. Sediakan kenderaan atau tambang
Rumah-rumah anak yatim tidaklah mempunyai peruntukan yang besar bagi membiayai tambang atau sewa bas. Jika anda ingin menjemput mereka sediakan kenderaan yang sesuai. Atau jika mereka perlu uruskan sendiri pengangkutan, berikan sedikit peruntukan untuk sewa pengangkutan pergi dan balik. Jika syarikat atau jabatan anda memiliki bas sendiri adalah lebih baik.
3. Tempatkan mereka bersama tetamu anda yang lain
Jangan diasingkan anak-anak tersebut diruang yang khas yang berasingan dari tetamu lain. Tempatkan mereka bersama-sama tetamu lain. Mereka ingin sekali berinteraksi dan bermanja dengan orang lain. Adalah lebih afdhal jika mereka diselangselikan dengan tetamu disetiap meja.
4. Anak-anak yatim bukanlah bahan pameran
Seringkali berlaku anak-anak yatim ini akan dapat bertemu dengan tetamu khas seperti VIP atau artis ketika sesi bergambar atau sidang akhbar. Sebelum itu mereka ditempatkan dimeja barisan belakang. Mereka cuma dipanggil kedepan apabila tiba sesi bergambar atau ketika menjadi latarbelakang sesi fotografi artis.
5. Selera kita mungkin sama dengan selera mereka
Adalah tidak manis jika tetamu dihidangkan dengan makanan yang berbeza dengan anak-anak yatim. Mereka juga ingin menikmati juadah yang istimewa seperti orang lain. Oleh yang demikian jangan diasingkan hidangan mereka dengan hidangan tetamu-tetamu lain.
6. Jika memberi hadiah, berilah kepada semua
Jika anda akan memberi sumbangan atau cenderamata berikan kepada semua mereka. Tentukan jumlah mereka yang akan hadir dan sediakan sumbangan atau cenderamata yang secukupnya. Selain dari wang mereka juga memerlukan pakaian dan alat-alat tulis.
7. Beri peluang mereka tunjukkan bakat
Kebanyakan rumah anak-anak yatim mempunyai pasukan kompang atau nasyid mereka sendiri. Selain dari persembahan artis jemputan, berikan peluang kepada anak-anak ini menunjukkan bakat mereka. Mereka merasa dihargai jika diberi peluang memberikan persembahan mereka. Tapi jangan lupa memberi notis awal semasa mengundang mereka. Mereka juga mempunyai aturacara yang ketat sepanjang bulan ramadhan.
8. Jangan tahan mereka hingga larut malam
Anak-anak perlu menjalani tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Mereka perlu hadir kesekolah pada awal pagi. Oleh yang demikian jangan menahan mereka didalam majlis anda sehingga larut malam. Lepaskan mereka pulang lebih awal supaya mereka dapat bangun sahur dengan segar dan seterusnya dapat bersekolah esok paginya. Awalkan acara penyampaian sumbangan dan cenderamata.
Semoga apa yang dipaparkan diatas boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam mengendalikan majlis-majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim kelak. Jika anda ingin membuat sebarang penambahan atau komen, dipersilakan.
No comments:
Post a Comment