Saturday, April 30, 2011

JAMUAN CHARITY RIDE MALAKOFF 2011






Jumaat 29/4/2011-seramai 14 orang pelajarbersama Mudir Kompleks Pendidikan Manabi'ul Ulum telah dijemput ke Majlis Makan Malam Sempena Kayuhan Amal 2011anjuran Malakoff yang bermula di Lumut dan berakhir di Kuala Lumpur bermula keesokan harinya. Mudir Manabi'ul Ulum telah diberi penghormatan untuk membaca doa pembukaan majlis tersebut. Dalam majlis tersebut sumbangan sebanyak RM20,000telah diberikan kepada PersatuanKebajikan Al-Furqan yang menguruskan Kompleks ini hasil dana sumbangan daripada pelbagai pihak penaja. Terimakasih banyak kami ucapkan moga ianya menjadi amal jariah yang berkekalan kepada pihak penyumbang dan penganjur program.

Wednesday, April 20, 2011

Tidak dilayan isteri bukan alasan untuk curang

DIkirim oleh epondok di April 20, 2011
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Suami sepatutnya faham tanggungjawab berat wanita urus rumah tangga, asuh anak

SAYA tertarik apabila membaca kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa isteri tidak bertanggungjawab menjadi punca suami melakukan hubungan sulit.

Beliau mendakwa, ada masanya bila suami ‘ada keinginan’ tetapi pulang ke rumah, isteri kata tunggu kerana ‘sedang masak’ atau ‘sedang bersiap untuk ziarah saudara-mara’. Dalam Islam, katanya, seorang isteri sepatutnya menghentikan apa yang sedang dilakukan untuk memenuhi tuntutan si suami.

Ibrahim mendakwa, kerana tidak mendapat layanan isteri, ada suami pergi ke tempat sulit untuk memuaskan nafsu serakah mereka.

Saya tidak pasti berkaitan kajian yang pernah dijalankan bagi menyokong penemuan ini. Perlu dikemukakan statistik berkaitan sebelum saya dapat mengambil pendirian dalam hal ini. Bagaimanapun, pada pandangan saya memang ada sedikit kebenaran kenyataan Presiden PERKASA itu khususnya tanggungjawab isteri melayan keinginan dan kehendak suami.

Memang ada di kalangan ulama sudah disepakati mengenai tanggungjawab isteri terhadap suami ini. Nas al-Quran dan hadis juga banyak boleh dikutip bagi menyokong hujah ini.

Persoalan juga timbul dari kenyataan itu adakah kebanyakan suami begitu rendah imannya melakukan larangan Allah semata-mata kerana isterinya tidak mahu memenuhi tuntutannya? Tidak ada jalan lainkah yang diajar agama bagi menangani masalah sebegini?

Dalam memperkatakan tanggungjawab isteri ini kita sebenarnya tidak boleh lari daripada meneliti tanggungjawab suami juga. Jika ingin mengambil Islam sebagai autoriti, kita mesti mengambil secara keseluruhan dan bukan dalam kompartmen tertentu saja.

Memang benar isteri perlu berhenti daripada membuat perkara lain sekiranya suami mempunyai keinginan untuk bersama isterinya. Memang benar juga isteri perlu berhias untuk suami dan melayan suaminya. Tetapi, realitinya isteri itu turut dibebankan dengan tanggungjawab lain yang tidak perlu sebenarnya dipikul isteri. Urusan rumah tangga dan anak secara eksklusif digalas isteri.

Dalam Islam tugasan menyediakan makan minum suami sebenarnya bukan tanggungjawab hakiki isteri. Tetapi isteri sekarang bukan saja dibebankan dengan tanggungjawab memasak malah menjaga anak dan ramai juga yang berkerja bersama-sama membantu suami meningkatkan ekonomi keluarga.

Semua ini sebenarnya tanggungjawab suami yang perlu menyediakannya. Suami sepatutnya menyediakan pembantu rumah. Begitu juga halnya mengasuh anak.

Sekiranya semua ini disediakan oleh suami saya berpandangan pada masa itu, isteri wajib menuruti apa saja kehendak suami.

Dalam Islam apabila seseorang itu diberikan sesuatu keistimewaan ia bukan datang begitu saja. Ia sebenarnya juga disertakan dengan tanggungjawab. Lebih banyak keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang disertakan. Setiap suami harus sedar tanggungjawab ini dan tidak hanya memikirkan hak dan keistimewaan diberikan kepada mereka saja.

Sebagai seorang manusia, isteri juga mempunyai perasaan dan kelemahan. Sudah pasti isteri yang pulang dari bekerja itu berasa letih dengan kerja di pejabat.

Amat tidak munasabah sekiranya isteri ini juga selepas pulang dari kerja dibebankan lagi dengan pelbagai tugasan lain sedangkan si suami duduk menonton televisyen ataupun beristirehat saja. Sebagai ketua keluarga suami perlu menjaga kebajikan keluarganya. Suami akan dipersoalkan kelak sekiranya gagal mentadbir keluarganya dengan baik.

Saya sangat percaya jika suami isteri mengambil neraca Islam sebagai panduan keharmonian rumah tangga mereka sudah pasti tiada seorangpun akan teraniaya dalam keluarga. Malah isu mengadakan hubungan sulit dengan orang lain juga tidak akan timbul kerana hubungan suami isteri itu disulami dengan sulaman akhlak budi pekerti dan ketakwaan.

Keengganan isteri melayan suami bukan tiket kepada suami untuk berlaku curang. Islam mengajar bagaimana mendidik isteri nusyuz atau derhaka kepada perintah sah suaminya. Pada awalnya suami hendaklah menasihati isteri supaya tidak derhaka kepada suaminya.

Sekiranya masih berdegil maka hendaklah diasingkan tempat tidur antara suami dan isteri dan sekiranya isteri itu masih berdegil ingkar kepada arahan suaminya dibenarkan kepada suami itu memukul isterinya bagi tujuan mengajar.

Bagaimanapun pukulan itu hendaklah tidak mencederakan isteri dan tidak boleh dipukul pada bahagian tertentu seperti muka dan bahagian sulit.

Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk sebelah kiri lelaki. Tulang rusuk ini begitu dekat dengan hati sebagai simbolik wanita itu hendaklah dicintai. Wanita tidak dijadikan daripada tulang di kepala untuk dijunjung ataupun tulang kaki untuk dipijak. Begitu indahnya kejadian wanita dijadikan Allah untuk kita fikirkan bersama.

Berbalik kepada kenyataan Ibrahim tadi, saya menyarankan tidak kira suami ataupun isteri perlu melihat dalam diri mereka sendiri terlebih dulu sebelum menuding jari mendakwa orang lain melakukan apa-apa kesilapan ataupun menjadi penyebab berlakunya gejala sosial.

Mendakwa orang lain menjadi penyebab kepada perlakuan salah seseorang yang lain amat tidak adil. Sebaliknya kita hendaklah melihat kepada diri sendiri sebelum mengatakan orang lain bersalah.

Zakat, haji tak dapat ‘bersihkan’ harta hasil rasuah

DIkirim oleh epondok di April 17, 2011

Oleh Ibrahim Abdullah

ADAPUN dimaksudkan ‘dosa beruntun’ adalah melakukan perbuatan mengandungi dosa dan kemudian daripada dosa yang satu, lahir pula dosa lain secara beranak-pinak. Hal ini paling dahsyat apabila orang yang terbabit adalah isteri, anak dan keluarga dalam perbuatan dosa besar yang dilakukan seseorang manusia.

Gejala rasuah contoh paling tepat dalam hal dosa beruntun dan bertali arus ini. Anehnya perasuah selalu menggunakan dalih dan muslihat jika ada pihak mencurigai dan ada kala menyembunyikannya ialah bekerjasama dengan pihak tertentu. Lebih menghairankan perasuah itu membohongi orang ramai atau keluarga harta diperoleh itu hasil keringatnya.

Akibat daripada nafkah haram ini juga menjadi tanggungjawab perasuah apabila muncul kelakuan buruk daripada penerima nafkah terutama di kalangan anak-anak. Sama ada disedari atau tidak, nafkah haram yang diberikan itu memiliki pengaruh signifikan terhadap perilaku seseorang.

Anak, isteri keluarga perasuah turut terbabit dalam dosa yang mereka lakukan akibat hasil rasuah. Demikian juga orang lain tetap terbabit dengan dosa yang sama.

Melakukan perbuatan rasuah, ibadat dilakukan perasuah khususnya berkaitan zakat dan haji tetap mengandungi dosa walaupun mereka cuba mengaburi mata masyarakat dan negara, apa lagi mengaburi mata Tuhan.

Mereka beranggapan dengan melakukan ibadah seperti itu maka dosa mereka akan terhapus. Dalam al-Quran disebutkan, tujuan asasi zakat ialah membersihkan harta dan jiwa. Begitu juga haji, harta yang bersih dan halal saja diterima Tuhan. Bahkan amalan zakat dan haji mereka itu sebaliknya dikutuk dan mendapatkan dosa pula daripada Tuhan.

Perintah serta ajaran al-Quran agar manusia mencari harta secara halal dan menggunakannya kepada hal yang halal serta memakan makanan halal dapat dijadikan isyarat dan langkah awal membangun generasi salih.

Bagi manusia yang menolak pelakuan rasuah, Allah akan memberikan imbalan pahala ketika di akhirat dan memberikan imbalan ketenangan ketika hidup di dunia. Sebaliknya orang yang mendapatkan dan menggunakan harta secara haram serta mengingkari perintah al-Quran, pelakunya akan berhadapan dengan pelbagai akibat di dunia dan akhirat.

Berikutan banyaknya implikasi dosa daripada hasil rasuah, khususnya bagi pelakunya, sudah sewajarnya jika perbuatan ini dianggap musuh, malah boleh memutuskan persaudaraan dengan mereka yang memakan rasuah.

Seorang perasuah menjadi penyebab kepada dosa beruntun yang menjejaskan reputasi peribadinya dan tidak boleh dipercayai di kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi di sisi Tuhan. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari kiamat) maka baginya balasan lebih baik daripadanya, dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Qasas, ayat 84).

Pengamal rasuah di kalangan masyarakat kita, tidak segan melakukan perbuatan jahat itu sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan. Ini menunjukkan mereka tidak memiliki beban moral dan akhlak jika kejahatannya akan ditiru generasi seterusnya.

Balasan yang akan diterima oleh orang yang menjajakan kejahatan seperti ini ialah Allah akan menyungkurkan muka mereka ke dalam api neraka. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang dikerjakannya), maka sudah tentu mereka akan disungkurkan mukanya ke dalam api neraka (sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu lakukan. (Surah an-Naml, ayat 90).

Hasil haram didapati perasuah tetap haram walaupun dilakukan pelbagai kebaikan, sehingga perbuatan rasuah itu memikul beban kepada zuriat dan keturunannya pula dengan terus menerus memakan benda haram.

Perkara haram tetap haram walaupun dibungkus dengan kebaikan. Selain itu, jika perbuatannya ditiru atau dinikmati sebahagian orang, selama itu pengamal rasuah tetap bergelumang dengan dosa mereka.

Bertaubatlah golongan perasuah

DIkirim oleh epondok di April 16, 2011

Oleh IBRAHIM ABDULLAH


SERINGKALI terjadi perbuatan rasuah atau tumbuk rusuk di kalangan masyarakat kita yang melibatkan kakitangan kerajaan dan swasta. Seolah-olah perbuatan rasuah menjadi budaya dan permainan oleh mereka yang terlibat.

Jika perbuatan ini tidak dibedung segera oleh pihak-pihak berwajib, besar kemungkinan ia menjadi penyakit yang merbahaya bagi bangsa dan negara. Apa lagi negara kita Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang berdaulat dan masyhur di kalangan antarabangsa.

Adapun dosa yang dilakukan oleh perasuah atau koruptor termasuk ke dalam kategori dosa besar kerana berkaitan dengan Tuhan dan juga manusia. Justeru itu taubat yang mereka lakukan hendaklah serius dan bersungguh-sungguh (nasuha), jangan taubat daun keladi, taubat nak buat lagi.

Jika demikian, taubat mereka akan ditolak. Kes ini kerana perbuatan korupsi atau rasuah yang mereka perbuat melibatkan kebesaran Tuhan dan nasib manusia serta negara.

Kaitan dengan Tuhan, kerana mereka mempermainkan nama kebesaran-Nya dengan berikrar janji dan sumpah setia ketika melaksanakan solat, di mana hidup dan mati mereka adalah untuk Allah.

Sedangkan yang dimaksud dengan sumpah palsu ialah menggunakan nama Allah untuk tidak mengambil yang bukan hak milik mereka. Inilah perasuah yang dikatakan sebagai musuh Tuhan, musuh negara, dan musuh manusia.

Adapun kaitannya dengan manusia, kerana justeru mereka merampas hak-hak orang lain dengan mengambil yang bukan hak mereka secara sebenarnya.

Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu memakan harta benda di antara kamu dengan cara yang batal (salah), dan kamu ajukan perkara itu kepada penguasa (pemerintah) dengan maksud supaya kamu makan sebahagian harta orang lain dengan dosa, pada hal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188).

Di antara memakan harta dengan cara yang tidak halal itu ialah rasuah. Dalam konteks ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum.”(riwayat Ahmad, Termizi, Ibnu Hiban).

Melihat kes ini, maka taubat para pelaku rasuah perlu dilakukan secara serius melebihi taubat orang-orang yang melakukan dosa biasa. Hal ini perlu dilakukan, kerana mereka dianggap sebagai orang-orang yang tidak pernah mengerjakan ibadat.

Kosongnya ibadat yang dilakukan oleh para perasuah kerana diri mereka masih berlumuran dengan dosa dan sebagai penghisap darah ummah.

Mekanisme taubat para perasuah yang berkaitan dengan Tuhan, pastilah dengan penyesalan yang sungguh-sungguh dan tulus. Hal ini kerana para perasuah pernah mempermainkan nama kebesaran dan keagungan Tuhan.

Maka mereka mesti mengembalikan reputasi kebesaran Tuhan dengan melakukan ibadat-ibadat secara berterusan dan melakukan dengan cara yang bersih zahir dan batin.

Dalam konteks kebersihan ini, Rasulullah SAW memberikan isyarat dalam hadis yang digambarkan tentang seseorang yang sibuk mengerjakan ibadat sehingga rambutnya tidak sempat disisir.

Orang itu setiap saat menadahkan tangannya ke langit memohon kepada Tuhan hal-hal yang diinginkannya. Tetapi setelah diperiksa ternyata makanan, minuman, dan pakaiannya didapati dari sesuatu yang haram. Bagaimana mungkin Tuhan menerima ibadat orang-orang yang berwatak seperti itu.

Ada pun, taubat para perasuah yang berkaitan dengan manusia, hendaklah mengembalikan harta-harta mereka yang telah dirasuah. Jika hal ini diteruskan rasuah, bererti dosa perasuah mesti dipertanggungjawabkan kepada semua orang yang terlibat dan juga termasuk harta negara jika kes itu termasuk di dalamnya.

Selama harta yang yang dirasuah itu tidak dikembalikan kepada pihak berkenaan, maka selama itu pula taubat para perasuah akan ditolak.