DIkirim oleh epondok di April 17, 2011
Oleh Ibrahim Abdullah
ADAPUN dimaksudkan ‘dosa beruntun’ adalah melakukan perbuatan mengandungi dosa dan kemudian daripada dosa yang satu, lahir pula dosa lain secara beranak-pinak. Hal ini paling dahsyat apabila orang yang terbabit adalah isteri, anak dan keluarga dalam perbuatan dosa besar yang dilakukan seseorang manusia.
Gejala rasuah contoh paling tepat dalam hal dosa beruntun dan bertali arus ini. Anehnya perasuah selalu menggunakan dalih dan muslihat jika ada pihak mencurigai dan ada kala menyembunyikannya ialah bekerjasama dengan pihak tertentu. Lebih menghairankan perasuah itu membohongi orang ramai atau keluarga harta diperoleh itu hasil keringatnya.
Akibat daripada nafkah haram ini juga menjadi tanggungjawab perasuah apabila muncul kelakuan buruk daripada penerima nafkah terutama di kalangan anak-anak. Sama ada disedari atau tidak, nafkah haram yang diberikan itu memiliki pengaruh signifikan terhadap perilaku seseorang.
Anak, isteri keluarga perasuah turut terbabit dalam dosa yang mereka lakukan akibat hasil rasuah. Demikian juga orang lain tetap terbabit dengan dosa yang sama.
Melakukan perbuatan rasuah, ibadat dilakukan perasuah khususnya berkaitan zakat dan haji tetap mengandungi dosa walaupun mereka cuba mengaburi mata masyarakat dan negara, apa lagi mengaburi mata Tuhan.
Mereka beranggapan dengan melakukan ibadah seperti itu maka dosa mereka akan terhapus. Dalam al-Quran disebutkan, tujuan asasi zakat ialah membersihkan harta dan jiwa. Begitu juga haji, harta yang bersih dan halal saja diterima Tuhan. Bahkan amalan zakat dan haji mereka itu sebaliknya dikutuk dan mendapatkan dosa pula daripada Tuhan.
Perintah serta ajaran al-Quran agar manusia mencari harta secara halal dan menggunakannya kepada hal yang halal serta memakan makanan halal dapat dijadikan isyarat dan langkah awal membangun generasi salih.
Bagi manusia yang menolak pelakuan rasuah, Allah akan memberikan imbalan pahala ketika di akhirat dan memberikan imbalan ketenangan ketika hidup di dunia. Sebaliknya orang yang mendapatkan dan menggunakan harta secara haram serta mengingkari perintah al-Quran, pelakunya akan berhadapan dengan pelbagai akibat di dunia dan akhirat.
Berikutan banyaknya implikasi dosa daripada hasil rasuah, khususnya bagi pelakunya, sudah sewajarnya jika perbuatan ini dianggap musuh, malah boleh memutuskan persaudaraan dengan mereka yang memakan rasuah.
Seorang perasuah menjadi penyebab kepada dosa beruntun yang menjejaskan reputasi peribadinya dan tidak boleh dipercayai di kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi di sisi Tuhan. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari kiamat) maka baginya balasan lebih baik daripadanya, dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Qasas, ayat 84).
Pengamal rasuah di kalangan masyarakat kita, tidak segan melakukan perbuatan jahat itu sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan. Ini menunjukkan mereka tidak memiliki beban moral dan akhlak jika kejahatannya akan ditiru generasi seterusnya.
Balasan yang akan diterima oleh orang yang menjajakan kejahatan seperti ini ialah Allah akan menyungkurkan muka mereka ke dalam api neraka. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang dikerjakannya), maka sudah tentu mereka akan disungkurkan mukanya ke dalam api neraka (sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu lakukan. (Surah an-Naml, ayat 90).
Hasil haram didapati perasuah tetap haram walaupun dilakukan pelbagai kebaikan, sehingga perbuatan rasuah itu memikul beban kepada zuriat dan keturunannya pula dengan terus menerus memakan benda haram.
Perkara haram tetap haram walaupun dibungkus dengan kebaikan. Selain itu, jika perbuatannya ditiru atau dinikmati sebahagian orang, selama itu pengamal rasuah tetap bergelumang dengan dosa mereka.
No comments:
Post a Comment