DIkirim oleh epondok di Januari 14, 2011
BERSAMA KELUARGA….keluarga pesakit yang menjalani rawatan boleh bersama-sama membantu memberi sokongan.
AMALAN sihir terlalu luas ilmu dan perlakuannya. Ia boleh disampaikan melalui pelbagai cara termasuk makanan, minuman, angin, perbualan telefon, bersalaman, berpelukan serta pandangan mata.
Namun, ramai yang tidak terfikir ada segelintir manusia berniat jahat menggunakan khidmat bomoh atau pawang untuk melakukan penganiayaan terhadap orang lain.
sebelum selepas
Kaedah lain yang dikesan dalam amalan sihir ialah santau sama ada melalui tiupan angin ke dalam makanan, minuman atau mengambil barangan milik seseorang seperti gambar, rambut dan pakaian.
Sebab itu, Islam menentang keras perbuatan sihir dan tukang sihir. Orang yang mempelajari ilmu sihir, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 102)
Rasulullah s.a.w menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang merosakkan serta menghancurkan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jauhilah tujuh perkara besar yang merosak. Sahabat bertanya: ‘Apakah tujuh perkara itu, Ya Rasulullah?” Jawab Nabi, iaitu: ‘(1) menyekutukan Allah, (2) sihir (3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali kerana hak (4) makan harta riba (5) makan harta anak yatim, (6) lari dari peperangan, (7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman’”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam mengharamkan perbuatan sihir atau berjumpa tukang sihir untuk mengubati penyakit yang dikenakan kepadanya atau untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
Ibnu Mas’ud berkata: “Barang siapa ke tukang ramal, atau tukang sihir atau tukang tenung, kemudian dia bertanya dan percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka sungguh dia kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w”. (Riwayat Bazzar dan Abu Ya’la)
Bukan saja tukang sihir bahkan mereka yang percaya terhadap sihir itu juga berdosa besar.
Lebih-lebih lagi, sihir itu digunakan untuk melakukan kejahatan seperti mengganggu kebahagiaan orang dan memecahbelahkan hubungan suami isteri.
Bagi menjaga keselamatan diri dan mengubati penyakit, terdapat cara terbaik yang menurut ketetapan syariat. Jika sihir tidak memberi kesan dan tidak memudaratkan tentulah Allah s.w.t tidak akan memerintahkan kita supaya berlindung dengan-Nya daripada kejahatan sihir.
Bagi mereka yang terkena penyakit ‘buatan’ seperti ini, pasti akan mencari kaedah perubatan terbaik untuk pulih. Masa itu, tiada lagi difikirkan, malah sanggup berhabisan wang ringgit untuk membayar kos rawatan.
Memandangkan rawatan moden di hospital tidak dapat ‘membantu’ memulih penyakit terpaksalah merujuk masalah mereka kepada pengamal perubatan Islam.
Namun, bukan mudah mendapatkan rawatan berlandaskan syariat kerana ramai yang tertipu. Jadi, orang ramai perlu berhati-hati kerana ada pihak turut menggunakan al-Quran untuk mengaburi mata orang ramai.
Lihatlah latar belakang mereka yang menjalankan rawatan berkenaan terlebih dahulu dan pilih mendapatkan rawatan daripada mereka yang pakar dalam bidang perubatan serta faham hukum agama.
Elak mendapatkan rawatan daripada pihak yang mengenakan caj terlalu tinggi. Mereka bukannya mengikut tuntutan agama, tetapi hanya mahu keuntungan semata-mata.
Tindakan itu memberi gambaran yang tidak baik kepada amalan perubatan Islam dan agama kerana tersasar daripada falsafah perubatan Islam yang menekankan konsep tolong menolong.
Pengarah Pusat Perubatan Islam Seiring Syariat (PPISS), Datuk Dr Basharuddin Panjang Ahmad, berkata sihir itu adalah gabungan atau kombinasi antara iblis dan jin.
“Hukum mengamalkan sihir itu adalah haram manakala pengamalnya kufur. Sihir mendatangkan kemudaratan dan bahaya kepada manusia tanpa memberi sebarang manfaat.
“Perubatan Islam jelas menggunakan al-Quran sebagai bacaan dalam rawatan tanpa adanya jampi atau mantera yang meragukan,” katanya.
Beliau berkata, di PPISS sebelum proses rawatan, diadakan majlis bacaan Al-Fatihah, beristighfar, syahadah, tazkirah ringkas, bertahmid, bertakbir, berzikir munajat dan serta selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
“Pesakit bersama-sama perawat akan membaca beberapa surah atau potongan surah dari al-Quran dan doa.
“Rawatan berlandaskan syariat akan membaca al-Quran secara jelas tanpa berbisik-bisik selain membenarkan ahli keluarga bersama-sama ketika dirawat,” katanya.
Dr Basharuddin berkata rawatan alternatif kaedah Islam bukan sahaja berperanan membentuk kesinambungan usaha rawatan moden, malah pelengkap dalam menilai serta menyelesaikan masalah atau penyakit.
“Rawatan bukan tidak terhad untuk mengubati penyakit, malah bertindak menghalang dan menilai secara menyeluruh sebab penyakit dan langkah pencegahannya,” katanya.
Beliau berkata rawatan kaedah Islam mengamalkan terapi secara informasi iaitu menggabungkan bacaan doa, zikir, bacaan Al-Quran, tazkirah dan motivasi dalam rawatan.
“Sehingga kini ramai pesakit yang sembuh daripada penyakit seperti gangguan jin, saka, kencing manis, barah, masalah rumah tangga, sakit lutut, batu karang dan sebagainya.
“Asas perubatan ini bermula daripada keyakinan bukan saja melalui minda atau akal tetapi hati. Setiap manusia dianugerahkan ‘kuasa’ akal dan minda yang berupaya menguasai pergerakan sistem badan,” katanya.
Beliau berkata ilmu perubatan Islam merangkumi kaedah moden, alternatif dan tradisional untuk memenuhi gaya kehidupan yang aman dan harmoni.
“Panduan yang digunakan dalam Islam untuk menilai dan menentukan gaya hidup yang baik itu adalah berdasarkan al-Quran dan contoh daripada Nabi Muhammad.
“Perubatan Islam mensyaratkan kita berusaha memperbaiki gaya hidup, berusaha untuk memulihkan kesihatan dan memohon keizinan daripada Allah kerana Dialah yang menyembuhkan segala penyakit.
“Di PPISS kami gabungkan sokongan pendoa, pembantu perubatan serta individu lain.
“Sebagai agama tauhid, penyembuhan penyakit melalui penggunaan ayat al-Quran dan doa yang diamalkan junjungan Nabi Muhammad s.a.w memainkan peranan penting,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah, Muhd Zainul Asri Ramli, berkata setiap perbuatan jahat yang dilakukan bagi menganiaya sesama insan pasti Allah membalasnya di dunia lagi.
“Mengamalkan ilmu sihir untuk menyakiti atau mengkhianati orang lain adalah syirik. Mereka kekal sebagai ahli neraka selagi tidak mengucap dua kalimah syahadah dan bertaubat nasuha.
“Kesedaran orang ramai berkenaan dengan tegahan Islam dalam amalan ilmu sihir ini diharap dapat membantu masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang benar.
“Peranan ulama serta tokoh agama dalam hal kritikal ini cukup penting terutamanya menanamkan dalam hati masyarakat bahawa kaedah yang bertentangan dengan agama perlu ditinggalkan serta-merta,” katanya.
Beliau berkata amalan sihir akan mewujudkan masyarakat yang lemah akhlak serta pegangan akidahnya.
“Islam mahukan umatnya berpegang teguh kepada prinsip asas syariah supaya menjalani kehidupan dengan menjaga agama, nyawa, keturunan dan harta.
“Justeru, segala perbuatan syirik dan khurafat dalam masyarakat hendaklah dibanteras,” katanya.
Mengulas kaedah rawatan Islam yang terbaik, Muhd Zainul berkata orang ramai dinasihatkan jangan mendapatkan rawatan daripada pengamal yang menggunakan kaedah kemenyan, berasap, menurun atau menilik.
“Pengamal perubatan Islam dikenali sebagai ‘tibb nabawi’ yang mempraktikan perubatan berasaskan sumber dari al-Quran sebagai (syifa) dan Sunnah.
“Pelaksanaan perubatan Islam perlu tahu membezakan antara yang benar dan syirik. Perubatan Islam tidak sekadar membacakan ayat al-Quran atau jampi, tetapi yakin terhadap kuasa Allah,” katanya.
No comments:
Post a Comment