DIkirim oleh epondok di Julai 12, 2011
Oleh Hizbur Rahman
Insan beriman perlu yakin ada kehidupan abadi
MARI kita menjuruskan ingatan dan kesedaran untuk menghayati Allah Maha Besar dan Maha Pemurah. Dibentangkan-Nya alam ini untuk kita, dicurahkan rahmat-Nya siang dan malam, sejak dilahirkan hingga ke hari kematian kita.
Bahkan rahmat Allah yang lebih besar dan banyak adalah sesudah kita mati, jika kita termasuk di kalangan orang beriman, bertakwa serta banyak mengerjakan amal soleh selama hidup di dunia ini.
Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus apabila keluarnya nyawa dari tubuh. Orang yang beriman hendaklah meyakini ada kehidupan abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia yang menjadi fokus utama orang beriman.
Kerana itulah, persoalan akidah adalah perkara paling asas dalam Islam. Islam diibarat sebagai bangunan, manakala akidah pula asas atau tapak kepada binaan itu. Jika rosak akidah seseorang maka rosak semua amalan dibina diatasnya.
Atas dasar ini Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar hukum syariat Islam.
Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran, namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait perkara ghaib yang tidak mampu dicapai akal manusia yang sangat terbatas.
Istilah ‘kubur’ hanya kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?
Sudah pasti tidak kerana ada yang tidak diketahui kuburnya seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.
Namun, menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam antara alam dunia dengan akhirat.
Firman Allah yang bermaksud: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka berkatalah ia: Wahai Tuhanku kembalikan daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal soleh dalam perkara yang sudah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat?
Sesungguhnya perkataannya itu hanya kata-kata yang ia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah al-Mukminun, ayat 99 -100)
Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hingga dibangkitkan. Ia juga bermakna dinding penghadang antara dua benda sejak waktu kematian hingga dibangkitkan. Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi tetap meyakini kewujudannya. Contohnya, beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada bermimpi indah dan ketika bangun, jasadnya merasai nikmat dirasakan rohnya ketika bermimpi.
Demikian sebaliknya, orang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan saja rohnya tersiksa tetapi badannya juga rasa tersiksa. Sedangkan mereka tidur berhampiran tetapi tidak mengetahui apa dirasakan rakannya.
Jika perkara seperti ini diakui hakikat kewujudannya maka demikian juga alam barzakh yang lebih hebat dari itu.
Sesungguhnya nikmat dan azab kubur sesuatu yang wajib kita imani serta yakini kewujudannya walaupun tidak dapat dibuktikan secara nyata dan termasuk dalam perkara ‘sam’iyyat’ kerana Rasulullah SAW memerintahkan kita berdoa berlindung daripada azab kubur.
Kita wajib berlindung daripada azab kubur kerana alam kubur adalah persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itu tanda kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itu petanda orang itu akan mendapat kesulitan di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu, singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sebenarnya dalam al-Quran ada kira-kira 300 ayat menyatakan kematian dan keadaan kehidupan selepas mati seperti alam barzakh dan akhirat. Nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW menerangkan roh itu kekal, ada roh mendapat nikmat dan ada roh terseksa.
Apabila kita mengingati kewujudan azab ditanggung selepas mati oleh orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut azab Allah dan akan mendekatkan diri kepada-Nya.
Dikirim dalam Artikel Pilihan | Leave a Comment »
Bersedekah kunci utama pintu rezeki
DIkirim oleh epondok di Julai 12, 2011
Oleh Muhammad Abdullah
MEMBIASAKAN sifat bersedekah adalah kunci utama memperluaskan rezeki dari Allah. Semakin banyak wang, harta, ilmu atau khidmat disedekahkan, bertambah bilangan kunci diberikan Allah SWT untuk membuka segala pintu rezeki, sama ada disedari atau datang secara tiba-tiba.
Rezeki Allah SWT bukan saja melalui pemerolehan harta kekayaan, pendapatan melimpah ruah, atau ganjaran berbentuk material saja. Sebaliknya setiap kesusahan yang dipermudahkan, keluasan minda daripada belenggu, ketajaman akal membuahkan idea bernas, ilham bermanfaat juga rezeki yang luar biasa datangnya dari Tuhan.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Namun di sudut hati, bisikan halus syaitan sering menakutkan manusia dengan mendekatkan diri kepada amalan bersedekah boleh menghampiri kepada kefakiran atau kepapaan.
Umat Islam tidak perlu khuatir membimbangi kekurangan dan kehabisan wang kelak apabila bersedekah, kerana janji Allah SWT tetap melipatgandakan rezeki si pemberi adalah satu keyakinan yang pasti.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Saba’, ayat 39)
Ganjaran pahala di sisi Allah SWT kepada orang yang bersedekah juga amat besar dan setiap apa yang disedekahkan akan dilipat gandakan pahalanya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh pokok, pada tiap-tiap pokok seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Selain itu, memohon taubat atas dosa silam serta sentiasa banyak beristighfar kepada Allah, boleh membesarkan gerbang rezeki seseorang.
Lafaz istighfar wajar diutamakan dalam kehidupan umat Islam menjelang masa terluang, tidak terbatas kepada waktu ibadat solat fardu saja.
Berdasarkan sunnah Rasulullah SAW yang sering beristighfar memohon ampun dari Allah SWT meskipun Baginda seorang nabi yang bersifat maksum. Apatah lagi kepada kita manusia biasa yang kerap terlanjur dengan dosa dan kesalahan.
Ketakwaan kepada Allah SWT amat diperlukan sebagai asas yang membentuk pertahanan diri dan agama untuk menghindar terdorong melakukan kemungkaran dan apa saja perbuatan tidak diredai Allah
Dikirim dalam Amalan Pilihan | Leave a Comment »
No comments:
Post a Comment