Posted by epondok di Februari 13, 2012
Oleh Ustaz Zaman
SETIAP tahun kita menyambut perayaan bagi meraikan kelahiran Baginda SAW dengan program yang berfaedah, seterusnya mendidik jiwa agar merasai hasil perjuangan Baginda dan pengorbanan yang besar sehingga kita menjadi penganut agama yang suci ini.
Kesabaran yang tinggi menghadapi tribulasi perjuangan ketika menyampai dan menyebarkan Islam membawa kepada pengiktirafan oleh Allah SWT sebagai ulul azmi yang mana diabadikan di dalam surah Al-Ahqaf ayat 35 bermaksud: “Bersabarlah kamu seperti sabarnya nabi-nabi ulul azmi”.
Kita mengetahui segala mukjizat yang dianugerahkan Allah SWT kepada Baginda SAW bermula dari awal kelahiran sehinggalah tibanya saat kewafatan SAW. Terkadang kita lupa kepada salah satu mukjizat besar iaitu pembaharuan yang dibawa oleh Baginda SAW sehingga utusan Baginda SAW menyebut: “Kami telah mendapat kelapangan dunia daripada kesempitan jahiliah, dari sistem perhambaan sesama manusia kepada penyembahan kepada Allah yang satu.”
Sistem perhambaan sesama manusia semakin lenyap daripada terus subur dengan sistem dan ketetapan yang dibawa oleh Allah SWT melalui Baginda SAW. Seterusnya sistem ini terus berkubur dengan penebusan kepada beberapa kesalahan yang telah dilakukan oleh umat Islam terhadap agamanya seperti membunuh dengan tidak sengaja, pelanggaran sumpah serta mereka yang menziharkan isteri mereka.
Antaranya firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang membunuh secara tidak sengaja, hendaklah membebaskan seorang hamba.” (An-Nisa’ 92).
“Sumpahan yang diucapkan secara tidak sengaja hendaklah ditebus dengan memberi makan 10 orang miskin, pakaian atau memerdekakan seorang hamba sahaya.” (Al-Maidah 89).
“Mereka yang menyamakan isteri dengan ibu sendiri (zihar), kemudian menarik balik kata-kata mereka maka hendaklah menebus dengan memerdekakan seorang hamba.” (Al-Mujadalah 3).
Begitu juga penghormatan yang diberikan Allah SWT terhadap wanita dan anak perempuan yang telah dinafikan hak mereka pada era jahiliah dengan dibunuh dan dijadikan bahan dagangan untuk memuaskan nafsu serakah kaum Adam. Allah SWT mengharamkan perkara sedemikian dengan mengharamkan pembunuhan mana-mana jiwa manusia serta diperintahkan wanita agar menjaga tata tertib dan kehormatan mereka.
Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman agar mereka menjaga kehormatan, pandangan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan mereka kecuali dengan bertudung dan kepada suami serta saudara terdekat”. (An-Nur 31).
“Hendaklah mereka (isteri) tetap di rumah mereka dan janganlah berhias seperti perhiasan jahiliah yang terdahulu”. (Al-Ahzab 33).
Daripada Abu Hurairah RA bahawa sabda Nabi SAW: “Amat malang kepada mereka yang mendengar namaku disebut dan dia tidak berselawat kepadaku”.(Al-Hadith).
Allah SWT menetapkan kepada umat Baginda SAW dengan menyebut nama Baginda pada ketika tasyahhud di setiap solat yang dilakukan sebagai penghormatan kepada Baginda dan dianjurkan umatnya berselawat pada setiap masa bagi merealisasikan peruntukkan Allah SWT kepada insan teragung ini. (SAW).
Seorang sahabat bernama Abdul Rahman bin Auf, berkata bahawa Baginda SAW didatangi malaikat Jibril dan berkata: “Wahai Muhammad, sesiapa yang berselawat kepadamu, maka 70,000 malaikat akan berselawat kepadanya”. (Hadith Fadail A’mal)
Dipetik daripada kitab “Syifa’ As-Syarif bahawa baginda SAW bersabda: “Mereka yang terselamat daripada kejutan hari kiamat ialah mereka yang banyak berselawat kepadaku.”
Malah doa yang tidak didahului dengan selawat kepada Baginda SAW dikatakan tertolak berdasarkan sebuah hadis daripada Anas bin Malik ra di mana Baginda SAW bersabda bermaksud: “Semua doa akan tergantung antara langit dan bumi sehingga empunya doa berselawat kepada Nabi SAW.” (al-hadis).
No comments:
Post a Comment