Monday, July 23, 2012
Tingkat kualiti amalan pada Ramadan
Posted by epondok di Julai 22, 2012
Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Rasulullah, sahabat harungi peperangan Badar ketika puasa
Alhamdulillah, bersyukur dan bertuah serta bergembiralah kita kerana berpeluang bertemu dengan Ramadan yang sarat dengan kemuliaan, keberkatan dan kerahmatan serta dijanjikan Allah SWT pelbagai limpahan ganjaran serta pengampunan dosa. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan dengan beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT, nescaya diampunkan baginya dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Jika pada kebiasaannya kita bersarapan, boleh menjamah jamuan selepas mesyuarat, tetapi dalam bulan ini semua kebiasaan itu tidak dapat dikecapi.
Perubahan ini sedikit sebanyak boleh mengubah semangat, kesegaran dan jadual kerja seharian jika kita tidak mempersiapkan diri sehingga ada mengaitkan pekerja sebagai kurang produktif di bulan ini.
Perubahan masa
Bahkan, perubahan pada semua kebiasaan ini, jika tidak difahami, dihayati serta dilalui sepenuhnya dengan kesedaran, pengetahuan serta kesabaran boleh menjadikan amalan berpuasa hanya suatu adat dan kerja seharian pula menjadi berat.
Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah aku berlindung kepada-Mu daripada kelaparan, kerana itu adalah teman berbaring yang paling buruk dan aku berlindung kepada-Mu daripada khianat, kerana itu adalah pendamping yang sangat buruk.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah)
Justeru, Allah SWT mengubah kebiasaan hamba-Nya dan memerintahkan kita menahan diri daripada makan dan minum serta perkara membatalkan puasa selama sebulan untuk menguji ketaatan dan kesabaran semata-mata kerana memenuhi perintah Allah SWT.
Sabda Rasulullah, Ramadan adalah bulan kesabaran. Sabdanya lagi Allah SWT berfirman: “Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya kecuali amalan puasa, maka ia adalah untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya).” (Hadis riwayat Muslim)
Bentuk insan taat diri
Selain memberikan pelbagai hikmah Ramadan dan orang yang berpuasa bagi membentuk diri menjadi insan yang taat dan bertakwa walaupun dengan mengubah kebiasaan dan mengurangkan keperluan.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud, “boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.
Mengimbas sejarah Rasulullah dan sahabat serta salafussalih berpuasa dapat merangsang semangat dan kesabaran kita.
Harungi peperangan
Bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat boleh mengharungi peperangan Badar dalam bulan ini? Semua ini kerana, ia dilakukan kerana Allah dan untuk merebut limpah kurniaan- Nya.
Justeru, marilah kita renungi dengan mendalam dan contohi seberapa mampu supaya Ramadan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.
Pepatah Arab menyebut, “tirulah kemuliaan kerana sesungguhnya ia boleh membawa kejayaan walaupun jika tidak dapat melakukan yang benar-benar serupa”.
Justeru, bagi mengelakkan puasa adat dan kerja menjadi berat, perlulah kita mempunyai kesedaran dan pengetahuan asas yang baik di awal Ramadan ini.
Pertama, dengan mengetahui kelebihan dan hikmah berpuasa. Antaranya bahawa setiap amalan kebajikan dalam bulan ini digandakan dengan berlipat kali ganda pahalanya, diberikan dengan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, dimakbulkan doa, diampunkan dosa dan disediakan syurga yang dinamakan ar-Rayyan.
Peluang keemasan
Kedua, dengan mensyukuri kelebihan dan kemudahan dalam bekerja berbanding kerjaya individu lain yang lebih susah dan berat.
Dalam sebuah hadis sahih disebutkan, “Dalam hal dunia, hendaklah kamu melihat kepada orang yang di bawah”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Ramadan perlu menjadi peluang keemasan untuk direbut dengan melipat gandakan amal dan kerja supaya lebih baik serta berkualiti daripada kebiasaan.
Dikirim dalam Amalan Pilihan | Leave a Comment »
Serlah pesona Islami dalam diri
Posted by epondok di Julai 22, 2012
Oleh Nik Salida Shuhaila
Enggan ikut garis panduan al-Quran punca berlaku krisis identiti
Ketika penulis berurus niaga di sebuah pusat beli-belah, pemilik kedai beragama Islam berkali-kali meyakinkan penulis barangan jualannya adalah asli dan berkualiti tinggi. Walaupun tidak dipersoalkan, beliau tetap cuba membuatkan penulis percaya kata-katanya. Mana mungkin penulis menafikan apa yang dikata kerana beliau lebih mengetahui mengenai barangan jualannya. Malah, jika beliau berbohong pun penulis akan percaya juga, tetapi percayakan pembohongan.
Teringat pula ketika berada di United Kingdom, ada dalam kalangan warga yang ragu-ragu untuk bermuamalah dengan peniaga Muslim kerana menurut mereka peniaga beragama Islam sering menipu, tidak jujur dan tidak amanah dalam urusan jual beli.
Keadaan ini bukan hanya berlaku di negara tertentu, tetapi di mana-mana saja, hingga ada mengaitkan hal itu dengan ajaran agama dianuti.
Islam mengajar umatnya sentiasa benar dalam perkataan, perbuatan dan amanah apabila berurusan.
Muslim dan pesona identiti Islami tidak akan mampu menarik perhatian jika ia tidak ditonjolkan.
Alangkah indahnya jika tiada siapa yang ragu-ragu apabila bermuamalah dengan peniaga Muslim, atau jika semua orang memilih untuk berurus niaga dengan orang Islam kerana tiada seorang pun peniaga yang menipu atau tidak jujur dalam perniagaan.
Walaupun kebenaran dan kejujuran membuatkan umat Islam lebih maju dan terkehadapan, tetapi masih ramai memilih sebaliknya.
Krisis keruntuhan identiti sebenar Muslim hari ini berpunca daripada keengganan penganutnya mengikut garis panduan akhlak yang tersenarai dalam al-Quran dan kerana itu Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Ia memudahkan kita memahami akhlak dianjurkan Allah SWT sekali gus mengamalkannya untuk menyempurnakan syarat menjadi seorang Muslim.
Sebagai seorang Muslim, hidup kita hendaklah sentiasa didasarkan atas keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Jika berlaku pengabaian terhadap pengukuhan keimanan kepada Allah, sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah diseleweng menurut kemahuan hawa nafsu.
Keimanan yang mantap penting sebagai penghalang daripada terjerumus ke lembah maksiat di samping mengatur perjalanan hidup yang selamat dan diredai Allah SWT.
Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jugalah mereka berserah (bertawakal).” (Surah al-Anfal, ayat 2)
Justeru, umat Islam tidak sepatutnya jahil identiti Islami yang selayaknya menjadi identiti setiap individu Muslim. Sedikit perbezaan adalah perkara biasa kerana pemahaman dan pengamalan mengenai hukum termaktub dalam al-Quran dan sunnah turut dipengaruhi faktor setempat.
Namun, ia tidak menyebabkan perselisihan besar, malah masih terangkum dalam prinsip hukum yang sama. Tinggal lagi kesediaan untuk mengamalkan setiap panduan akhlak Islami dan menolak yang selainnya.
Setiap tindak tanduk Muslim yang dianjurkan agama untuk mengharmonikan dan mensejahterakan manusia. Memisahkan agama daripada hal keduniaan tidak semestinya memberi kesan negatif kepada pembangunan manusia.
Bagaimanapun, proses pembentukan identiti yang tidak dilunaskan atas paksi akidah yang jitu kepada pencipta-Nya, adalah satu kepincangan.
Hubungan mulia sesama manusia terjamin apabila elok hubungan seseorang individu Muslim dengan pencipta-Nya. Bahkan kepentingan diri setiap individu tidak lagi menjadi keutamaan apabila kepentingan Allah SWT didahulukan, sekali gus menjaga kepentingan umat seluruhnya
Dikirim dalam Amalan Pilihan | Leave a Comment »
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment