BAB 1: ADAB PENGAJAR DAN PELAJAR AL QURAN
Bab
ini dan dua bab yang berikut adalah tujuan penulisan kitab ini. Ianya
panjang, namun saya akan meringkaskannya dengan menjadikannya kepada
beberapa fasal untuk memudahkan menghafalnya serta mengingatinya InsyaAllah.
Fasal: Pertama-tama yang patut diberi perhatian adalah tujuan mengajar dan belajar itu adalah kerana Allah.
Firman Allah Ta’ala:
“Dan
mereka tidaklah diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan
mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan
supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan demikian itulah
agama yang benar (lurus)”.
Di dalam As Sahihain daripada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu (dikira berdasarkan) dengan niat. Dan bagi setiap orang apa yang ia niatkan”.
Dan hadis ini adalah daripada perkara pokok di dalam Islam.
Dan kami meriwayatkan dari Ibni Abbas ra katanya: “Sesungguhnya seseorang akan diganjari berdasarkan niatnya”.
Dan daripada riwayat selain beliau: ”Bahawasanya seseorang manusia akan mendapat ganjaran sekadar apa yang mereka niatkan”.
Dan kami meriwayatkan daripada Al Ustaz Abil Qasim Al Qusyairi ra katanya:
Ikhlas itu adalah menjadikan tujuan hanya satu. Iaitu mengkehendaki dengan amalan taatnya hanya untuk menghampirkan diri kepada Allah, bukan tujuan-tujuan yang lain seumpama menunjuk-nunjuk kepada manusia, atau mengharapkan kecintaan dan pujian mereka, atau tujuan-tujuan yang selainnya.
Beliau berkata, -dan benarlah perkataannya- iaitu: ”Ikhlas adalah membersihkan amal daripada pengawasan makhluk”.
Daripada Huzaifah Al Mar’asyi ra: “Ikhlas itu adalah sama saja amalan seseorang itu zahir dan batinnya”.
Dan daripada Zin Nun ra katanya:-
Tanda-tanda ikhlas itu ada tiga:
- Sama saja baginya pujian dan celaan manusia.
- Tidak memandang (dengan mengingat-ngingat) amalan (kebaikan) yang dilakukan.
- Mengharapkan ganjaran amalan di akhirat (bukan di dunia dengan kecintaaan manusia atau pujian mereka).
Dan daripada Al Fudhail Ibn Iyadh ra, katanya:
“Meninggalkan
amalan kerana manusia adalah riya’ sebaliknya beramal kerana manusia
adalah syirik. Sedangkan ikhlas adalah engkau diselamatkan Allah
daripada keduanya”.
Dan daripada Sahl At Tustari ra katanya:
“Orang
yang berakal cemerlang mencari-cari makna ikhlas, lalu mereka tidak
mendapatinya selain pada makna ini; iaitu seseorang menjadikan geraknya
dan diamnya, di dalam keadaan bersendirian atau keramaian hanya
semata-mata hanya kerana Allah dan untukNya. Tidak bercampur dengan
sesuatu daripada nafsu atau keinginannya atau dunianya”.
Daripada As Sirri ra:”Jangan
engkau beramal kerana manusia dengan satu amal pun, dan jangan pula
engkau tinggalkan sesuatu amal kerana mereka. Jangan engkau menutup
sesuatu pun dari mereka dan jangan pula engkau menyingkap sesuatu pun
untuk mereka”.
(di dalam kitab tercetak wala tu’ti, dengan ‘ain muhmalah [jangan memberi] tetapi penterjemah merasakan ianya adalah wala tughti, dengan ‘ain mu’jamah/ghain [jangan menutupi])
Dan daripada Al Qusyairi, katanya:
”Sifat benar yang paling utama adalah: Sama saja keadaan di dalam rahsia (berseorangan) atau terang-terangan (bersama manusia)”.
Dan daripada Al Harith Al Muhasibi ra katanya:
“Orang
yang sadiq adalah orang yang tidak peduli walau apapun yang keluar dari
hati manusia disebabkan kebaikan hatinya. Dia tidak menyukai secuil pun
daripada perhatian manusia kepada kebaikan amalannya, dan dia juga
tidak membenci perhatian manusia terhadap keburukan amalnya. Jika dia
membencinya, maka itu adalah tanda bahawa ia mengharapkan sesuatu dari
mereka, dan ini bukanlah daripada akhlak para Siddiqin”.
Daripada para tokoh yang lain, kata mereka: “Jika
engkau memohon kepada Allah sifat benar, maka Dia akan mengurniakanmu
cermin yang akan menampakkan kepadamu keajaiban dunia dan akhirat”.
Perkataan para Salaf tentang hal ini banyak sekali, namun kami hanya mendatangkan sebahagian sahaja sekadar peringatan.
Dan
aku telah menyebutkan banyak daripada perkataan mereka beserta
penjelasannya pada awal kitab Syarhil Muhazzab. Juga aku catatkan di
sana adab-adab seorang alim,adab seorang pelajar,adab seorang faqih
serta seorang penuntut ilmu agama yang mana mesti diambil perhatian oleh
para penuntut ilmu. Wallahu ‘alam.
Fasal: Hendaklah ia (seorang pengajar Al Quran) tidak
menjadikan tujuannya adalah untuk mendapatkan sesuatu daripada
keduniaan seperti harta, kepimpinan dan pangkat, kemegahan, ketinggian
di antara para sahabatnya, pujian dan perhatian manusia kepadanya atau
yang seumpamanya.
Janganlah
seorang pembaca Al Quran itu berhasrat agar condong hati manusia
kepadanya sehingga menjadikan mereka memberi harta kepadanya, atau
berkhidmat kepadanya, walaupun di atas nama hadiah sekalipun, yang mana
jika ia tidak membacakan Al Quran kepada mereka pasti mereka tidak akan
menghadiahkan kepadanya sesuatu apa pun.
Firman Allah: “Sesiapa
yang menginginkan ganjaran akhirat, akan kami tambahkan baginya
ganjaran. Namun sesiapa yang menginginkan ganjaran di dunia, maka akan
kami berikan padanya, namun ia tidak akan beroleh ganjaran apapun di
akhirat nanti”.
FirmanNya lagi: “Barangsiapa
yang menginginkan balasan yang segera (di dunia ini) akan kami
segerakan balasannya kepada sesiapa yang kami kehendaki”.
Daripada Abi Hurairah ra, sabda Rasulullah SAW: ”Sesiapa
yang mempelajari satu ilmu yang dengan ilmu itu sepatutnya mencari
redho Allah, lalu ia mempelajarinya untuk mendapatkan habuan dunia, maka
ia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat”.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan isnad sahih.
Hadis-hadis seumpama itu banyak sekali.
Daripada Anas, Huzaifah dan Kaab bin Malik r.anhum, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa
yang menuntut ilmu untuk bermegah-megah di kalangan orang jahil, atau
untuk menandingi para ulama, atau untuk menarik perhatian manusia
kepadanya, maka persiapkanlah tempat duduknya di dalam neraka”. Diriwayatkan At Tirmizi dari riwayat Kaab bin Malik, katanya: ”Akan dimasukkan ke dalam neraka”.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment