Tuesday, July 9, 2013

Mukmin bertakwa merindui kedatangan Ramadan

Posted by epondok di Julai 9, 2013 Allah SWT menerangkan dalam firman-Nya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan fidyah, maka itu adalah satu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah). Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka) maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 183-185) Sesungguhnya kewajipan berpuasa sudah dijelaskan dan bagi umat Islam yang bertakwa, hatinya sentiasa menanti-nanti serta merindui kedatangan Ramadan. Kepentingan puasa Justeru, perlu diingatkan kepentingan menunaikan puasa kerana ia adalah amalan yang dilaksanakan semata-mata untuk Allah SWT. Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Allah berfirman: “Semua amalan manusia adalah untuk mereka kecuali puasa. Ini kerana puasa itu adalah untuk-Ku. Dan aku yang menentukan balasannya”. Puasa adalah perisai daripada melakukan maksiat dan pendinding daripada api neraka. Justeru, apabila saudara berpuasa, janganlah bercakap perkara sia-sia ataupun bergaduh. Antara hadis menerangkan doa ketika melihat anak bulan ialah daripada Talhah bin Ubaidullah, “Apabila Rasulullah melihat anak bulan, beliau mengucapkan doa yang bermaksud: Ya Allah, terbitkanlah anak bulan itu bersama dengan keamanan, keimanan, keselamatan dan keislaman untuk kami. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah. Inilah anak bulan yang memberi petunjuk dan kebaikan.” (Riwayat Tirmizi – beliau mengatakan hadis ini adalah hadis hasan) Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah apabila saudara melihat anak bulan Ramadan. Dan berhentilah puasa apabila saudara melihat anak bulan Syawal. Jika anak bulan Ramadan tidak kelihatan, cukupkanlah bilangan 30 hari bulan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments: