Thursday, August 19, 2010
BERBUKA PUASA DENGAN PETRONAS
Rabu 18/8/10 - Pertronas Gas Cawangan Sitiawan telah bermurah hati menjadi sponsor majlis berbuka puasa di Kompleks Pendidikan Manabiul Ulum. Rombongan mereka seramai 80 orang diserikan lagi dengan tazkirah Ustaz yang diimport khas daripada Petronas Terengganu. Majlis berakhir selepas solat witir dan tazkirah oleh ustaz tersebut. Kami mengucapkan terima kasih banyak, mudah-mudahan hubungan ini akan berterusan.
Sunday, August 15, 2010
Thursday, August 12, 2010
Wednesday, August 11, 2010
Perutusan Khas Ramadhan 1431H : Ramadhan - Penyucian Diri Untuk Kembali Kepada Fitrah
Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.
Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.
Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185
Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.
Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.
Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah
Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.
TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MELIHAT ANAK BULAN RAMADHAN DI SEGARI
Selasa- 10 Ogos, semua pelajar lelaki berjumlah 32 orang telah pergi ke Baitul Hilal Segari untuk menyaksikan majlis melihat anak bulan Ramadhan dengan qaedah rukyah. Ramai pelajar2 sekolah lain juga turut hadir bersama dengan orang awam. Program ini mendedahkan kepada pelajar pondok tentang cara menentukan masuknya bulan Ramadhan dan begitu juga Syawal.
AZAM RAMADHAN SAYA TAHUN INI 2010
Selamat menyambut dan menunaikan puasa Ramdhan 1431H bersamaan 2010M.
A - RAMADHAN
1. Perkara pertama yang datang dalam kotak fikiran saya mengenai bulan Ramadhan yang mulia ini ialah:
i- Pelbagai jenis makanan dan minuman ketika berbuka dan sahur.
ii- Kerja kuat untuk menahan lapar dan dahaga.
iii- Kerohanian....jauh daripada dosa.
vi- Perjumpaan dan bergaul mesra dengan kawan-kawan.
v- Baca al-Quran dan solat.
B - MATLAMAT - GOAL
2. Saya telah mengambil keputusan untuk mencapai matlamat-matlamat berikut dalam bulan Ramadhan yang mulia ini iaitu:
i- Menambahkan ketakutan dan ketakwaan kepada ALLAH.
ii- Membina akhlak mulia.
iii- Mencapai kesempurnaan diri.
vi- Meningkatkan jiwa dan kebersihan rohani.
v- Membuat persiapan untuk bekalan MATI.
.......... ada rezeki saya sambung malam ini insyaALlah.
Terima kasih kepada menantu saya Imran kerana tolong translate artikel daripada bahasa orang putih :).
C- SOLAT
3. Untuk meningkatkan Solat saya, saya telah menetapkan seperti berikut:
i- Meningkatkan penumpuan (khusyuk).
ii- Memahami makna bacaan.
iii-Untuk bangun solat di malam hari (Tahajjud).
iv-Menepati masa untuk solat berjamaah.
v- Meningkatkan kehambaan diri.
D- QURAN
4.Untuk meningkatkan hubungan saya dengan Quran, saya telah menetapkan seperti berikut:
i- Membaca keseluruhan Quran sekurangnya sekali.
ii- Menghafaz beberapa surah.
iii-Mempelajari bacaan Quran yang betul (Tajwid).
iv-Memahami dan menghayati maksud ayat-ayatnya.
v- Membaca terjemahan dan tafsiran Quran.
E- DOA’
5.Untuk merapatkan diri kepada Allah, saya telah menetapkan untuk membaca seperti berikut:
i- Doa’ setiap hari untuk Ramadhan.
ii- Doa’ selepas setiap solat.
iii-Rayuan sebelum berbuka puasa.
iv-Doa’ dari Quran dan Hadith.
v- Doa’ dengan titisan air mata.
F- KESIHATAN
6. Dari sudut kesihatan, saya telah menetapkan untuk:
i- Berhenti merokok.
ii- Mengawal tabiat makan dan tidur.
iii-Tidak makan berlebihan.
iv-Mengutamakan buahan dan sayuran daripada makanan berlemak.
v- Melakukan senaman ringan untuk mengekalkan kesihatan.
G- ILMU
7. Dari sudut ilmu, saya telah menetapkan untuk:
i- Membaca buku-buku agama.
ii- Menghadiri kuliah-kuliah agama.
iii-Memulakan usrah atau program terjemahan Quran.
iv-Melayari laman-laman web Islam.
v- Mendengar kaset dan CD agama.
H- MA’RUF - PERKARA BAIK
8. Saya telah menetapkan untuk berusaha terhadap perkara Ma’ruf berikut:
i- Menderma untuk berbuka puasa.
ii- Berbuat baik kepada saudara mara.
iii- Menolong jiran tetangga.
iv- Meringankan beban yang ditanggung orang lain.
v- Bersedekah kepada fakir miskin.
vi- Menghormati orang yang lebih tua.
vii-Melatih sifat dan akhlak yang mulia.
I- MUNGKAR - PERKARA MAKSIAT
9.Saya telah menetapkan untuk menjauhi perkara-perkara Mungkar berikut:
i- Bercakap bohong.
ii- Menceritakan keburukan orang lain.
iii-Hilang sabar.
iv-Menonton TV, cerita bersiri, filem dan lain-lain lagi yang melalaikan.
v- Bercakap perkara yang sia-sia.
J- MALAM AL-QADR
10. Untuk malam Al-Qadr, saya telah menetapkan untuk:
i- Mencarinya di malam ganjil pada 10 malam terakhir.
ii- Mendapatkan keampunan untuk dosa-dosa yang lalu.
iii-Meminta petunjuk untuk masa hadapan.
iv-Membaca Quran.
v- Memperbanyakkan solat.
Semoga menjadi panduan untuk saya dan kita semua.
Saturday, August 7, 2010
PUSTAKMAR Buat Gotong Royong
Ust Zamani Menguruskan Jenazah di Vokasma
Pada 31 Julai yang lalu (Sabtu) - Majlis Graduasi dan Akikah telah diadakan di S.M Teknik Seri Manjung, ana bertugas untuk mengawal pelajar Tingkatan 4. Jadi kita merancang untuk mengadakan Program Pengurusan Jenazah yang mana kita jemput Ust Zamani drp Pondok Bt 10 untuk menyampaikan ceramah dan praktikal menguruskan jenazah. Nampaknya pelajar2 dapat memahaminya dengan baik dan mencuba menguruskan sendiri memandikan jenazah dan mengkafankannya.
Monday, August 2, 2010
Cara meraikan Anak-Anak Yatim di bulan Ramadhan
Assalamualaikum wbt,
Bulan Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi. Seperti biasa banyak syarikat, jabatan serta individu sibuk menyusun jadual berbuka puasa. Sudah menjadi kelaziman setiap majlis yang adakan antara yang dijemput adalah anak-anak yatim.
Alhamdulillah dengan adanya jemputan maka dapatlah anak-anak tersebut bergembira menikmati juadah yang istimewa. Saat ketibaan bulan Ramadhan sangat-sangat dinantikan oleh anak-anak tersebut.
Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur yang saban tahun tidak pernah melupakan anak-anak yatim dalam penganjuran majlis mereka. Disamping dijamu makan anak-anak ini juga diberikan sumbangan yang berupa duit raya dan juga hadiah-hadiah yang lain.
Namun demikian ada beberapa perkara yang harus kita ambil kira. Ianya bukanlah satu peraturan yang harus kita patuhi tetapi hanyalah sebagai panduan.
1. Jangan memilih
Dirumah-rumah jagaan anak-anak yatim bukanlah semuanya dihuni oleh anak-anak yatim atau piatu sahaja. Terdapat juga anak-anak yang miskin dan anak-anak terbiar. Oleh yang demikian janganlah kita sebagai penganjur meletakkan syarat untuk menjemput anak-anak yatim atau piatu sahaja.. Jemputlah semua anak-anak yang ada disitu. Jangan dipinggirkan anak-anak yang lain. Jangan lupa juga untuk menjemput 3 atau 4 orang pengiring yang terdiri dari pengurus atau pekerja dari rumah tersebut.
2. Sediakan kenderaan atau tambang
Rumah-rumah anak yatim tidaklah mempunyai peruntukan yang besar bagi membiayai tambang atau sewa bas. Jika anda ingin menjemput mereka sediakan kenderaan yang sesuai. Atau jika mereka perlu uruskan sendiri pengangkutan, berikan sedikit peruntukan untuk sewa pengangkutan pergi dan balik. Jika syarikat atau jabatan anda memiliki bas sendiri adalah lebih baik.
3. Tempatkan mereka bersama tetamu anda yang lain
Jangan diasingkan anak-anak tersebut diruang yang khas yang berasingan dari tetamu lain. Tempatkan mereka bersama-sama tetamu lain. Mereka ingin sekali berinteraksi dan bermanja dengan orang lain. Adalah lebih afdhal jika mereka diselangselikan dengan tetamu disetiap meja.
4. Anak-anak yatim bukanlah bahan pameran
Seringkali berlaku anak-anak yatim ini akan dapat bertemu dengan tetamu khas seperti VIP atau artis ketika sesi bergambar atau sidang akhbar. Sebelum itu mereka ditempatkan dimeja barisan belakang. Mereka cuma dipanggil kedepan apabila tiba sesi bergambar atau ketika menjadi latarbelakang sesi fotografi artis.
5. Selera kita mungkin sama dengan selera mereka
Adalah tidak manis jika tetamu dihidangkan dengan makanan yang berbeza dengan anak-anak yatim. Mereka juga ingin menikmati juadah yang istimewa seperti orang lain. Oleh yang demikian jangan diasingkan hidangan mereka dengan hidangan tetamu-tetamu lain.
6. Jika memberi hadiah, berilah kepada semua
Jika anda akan memberi sumbangan atau cenderamata berikan kepada semua mereka. Tentukan jumlah mereka yang akan hadir dan sediakan sumbangan atau cenderamata yang secukupnya. Selain dari wang mereka juga memerlukan pakaian dan alat-alat tulis.
7. Beri peluang mereka tunjukkan bakat
Kebanyakan rumah anak-anak yatim mempunyai pasukan kompang atau nasyid mereka sendiri. Selain dari persembahan artis jemputan, berikan peluang kepada anak-anak ini menunjukkan bakat mereka. Mereka merasa dihargai jika diberi peluang memberikan persembahan mereka. Tapi jangan lupa memberi notis awal semasa mengundang mereka. Mereka juga mempunyai aturacara yang ketat sepanjang bulan ramadhan.
8. Jangan tahan mereka hingga larut malam
Anak-anak perlu menjalani tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Mereka perlu hadir kesekolah pada awal pagi. Oleh yang demikian jangan menahan mereka didalam majlis anda sehingga larut malam. Lepaskan mereka pulang lebih awal supaya mereka dapat bangun sahur dengan segar dan seterusnya dapat bersekolah esok paginya. Awalkan acara penyampaian sumbangan dan cenderamata.
Semoga apa yang dipaparkan diatas boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam mengendalikan majlis-majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim kelak. Jika anda ingin membuat sebarang penambahan atau komen, dipersilakan.